~Yang Budiman~

Selasa, 31 Mei 2011

Yang terikat denganku Selama Ini dan Selamanya, Insya Allah.. ^_^


Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah s.a.w.
Kita kehendaki aqidah Islam yang sahih menurut aqidah as salafus salih, aqidah para sahabat Rasulullah s.a.w dan para pengikut mereka, yang jauh dari bida'ah dan khurafat karut marut. Aqidah yang telah membentuk generasi Muslim yang pertama, aqidah inilah yang menguasai perasaan dan pemikiran mereka dan menguasai segenap urusan hidup mereka, memancarkan kemampuan amal yang sunggah-sungguh di dalam diri mereka. Aqidah tauhid yang sejati ini memenuhi hati makhlukNya dengan nur iman yang dengannya dia berjalan di atas sirat al-mustaqim:
"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada di dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya?" (Al-An'aam:122)
Kita menghendaki pendukung aqidah yang selamat sejahtera, menyedari bahawa dia adalah suatu yang agung di dalam hidup ini, menginsafi bahawa dia mempunyai satu risalah yang penting, bahawa dia hidup dengannya dan hidup kerananya, dirinya bukanlah barang yang remeh dan terbiar seperti seekor kambing ataupun persis satu alat akan tetapi dia merasai dirinya kuat dan mulia kerana dia bersandar kepada Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Apabila kita memperkatakan aqidah tauhid di sini, bukanlah ilmu tauhid yang membawa pendukungnya hanya berkisar di daerah ilmu kalam dan perdebatan melulu. Semoga Allah memberi berkat kepada pujangga Iqbal tatkala berkata: "Tauhid itu dahulu satu kekuatan di antara manusia. Tetapi sekarang telah menjadi tauhid ilmu kalam."
Kita menghendaki pendukung aqidah yang selamat sejahtera, yang beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada rasul-rasul Allah, kepada hari Akhirat dan beriman kepada qadha' dan qadar, baik buruknya dari Allah.
Iman yang teguh dan tidak goncang apabila berhadapan dengan apapun tekanan dan pengabuian mata yang membawa keraguan. Kita menghendaki aqidah salimah yang memberikan kepada pendukungnya hati yang mukmin yang mencintai Allah s.w.t sama ada di waktu rahsia dan terang, di waktu marah dan reda, di segala keadaan, kerana semata-mata berharap kepada rahmat kurnia Allah dan redhaNya, kerana takutkan murka Allah dan azabNya.
Kita menghendaki lelaki dan perempuan yang beraqidah yang menimbang segala urusan hidup di sekitarnya dengan timbangan rabbaniah. Lantaran itu pandangan kepada dunia dengan segala apa yang ada padanya adalah merupakan pandangan Islamiah yang sahih. Islam yang benar dan tidak timbul daripadanya sepatah perkataan, suatu perbuatan, suatu gerakan atau diam kecuali dari aqidah Islam dan sesuai dengan syariat Islam, ajaran Islam dan adab-adab Islam.
Kita menghendaki semua aqidah yang mengutamakan Allah di atas segala-gala yang lain daripadaNya lalu dia menyerahkan segala hartanya, waktunya, pemikirannya, usahanya, jiwanya dan segala apa yang ada padanya kepada dakwah Islam. Dia terus menerus bersabar dan berkorban pada jalan Allah kerana mengharap keredhaan Allah.
Kita menghendaki manusia aqidah yang berbangga dengan saudaranya, yang bersungguh-sungguh membawa kebaikan kepada saudaranya dan menolong saudaranya dan mencintai saudaranya, yang memberikan pada saudaranya apa yang paling disukainya bahkan mengutamakan saudaranya dari dirinya, serta memelihara kehormatan saudaranya. Tidak membiarkan saudaranya, tidak mengecewakan saudaranya dan tidak mendedahkannya pada bahaya.
Kita menghendaki aqidah Islamiah yang menjadikan pendukungnya merasai tanggungjawabnya terhadap Islam, terhadap saudara-saudaranya sendiri. Dia tidak akan merasa senang dan tenteram hatinya sehinggalah dia melaksanakan tanggungjawabnya dengan segala kemampuannya terhadap dakwahnya, dakwah Islam.
[Utz Mustafa Masyhur]
p/s: jagalah aqidah kita, agar tidak diselewengkan kerana ia melibatkan pegangan agama yang boleh mempengaruhi kehidupan kita untuk berjaya di dunia dan akhirat. jika aqidah tidak diperkuatkan, maka akan mudah lupa terhadap rukun iman dan Islam, alam akhirat tidak dikenang, Pencipta kita Allah s.w.t diabaikan.... na'uzubillahi min zalik..

~ perkongsian yg lain~