~Yang Budiman~

Sabtu, 24 November 2012

Mahasiswa Kelas Pertama


Alhamdulillah.. Majlis Ilmu yang bertemakan“Nur Qolbi” yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM diteruskan lagi. Mengupas tajuk “Mahasiswa Kelas Pertama” dengan jemputan penceramah yang  tidak asing lagi iaitu Ustaz Fauzi Mustafa iaitu Pengacara rancangan al-Kuliyyah tv3.

Diketengahkan tajuk Mahasiswa Kelas Pertama adalah bagi memberi pencerahan kepada mahasiswa/wi untuk menjadi mahasiswa yang berwibawa seiring dengan pencapaian akademik dan sahsiah, serta tuntutan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sedikit kupasan daripada penceramah mengenai tajuk tersebut:

 “Mahasiswa kelas pertama adalah mahasiswa yang menjaga hubungannya dengan Tuhan. Siapa yang lebih mengejar akhirat, akan dapat jua kejayaan dunia tetapi sesiapa yang lebih mengejar dunia, akhirat belum tentu berjaya”

Hassan al-Basri telah mendatangkan sebuah kisah:

Di sebuah penempatan, terdapatnya seorang tok guru yang beragama. Telah datang kepadanya seseorang yang mengadukan bahawa ramai orang telah memuja sebuah pokok besar yang dipercayai mempunyai kuasa. Lalu tok guru tersebut berazam untuk menebang pokok tersebut kerana boleh membawa kesyirikan dengan amalan pemujaan tersebut.

 Apabila tok guru sampai di pokok tersebut untuk menebangnya, keluarlah satu lembaga hitam dari pohon tersebut. Lembaga hitam dan tok guru telah bergelut dan Tuhan telah memberi lebih kekuatan kepada tok guru. Lembaga yang lemah tersebut telah menawarkan ganjaran kepada tok guru sekiranya tidak menebang pokok tersebut dengan memberi wang di bawah bantalnya keesokan harinya. Lalu tok guru bersetuju kerana telah berfikir dia akan manfaatkan wang tersebut sebaiknya.

Hari demi hari lembaga hitam itu menepati janjinya dengan menyediakan wang di bawah bantal tok guru, namun suatu hari tok guru mendapati tiada wang di bawah bantalnya. Lalu tok guru berasa marah dan terus membawa kapak untuk menebang pokok tersebut. Situasi yang sama juga dimana tok guru perlu berlawan dengan lembaga hitam tersebut, namun kali ini tok guru telah Berjaya dikalahkan oleh lembaga tersebut.
 
Tok guru berasa heran dengan kelemahannya lalu bertanya bagaimana lembaga itu boleh berjaya mengalahkannya. Lembaga itu menjawab bahawa, dulu tok guru datang dengan niat yang mulia untuk menghapuskan syirik terhadap Allah, namun kali kedua tok guru datang dengan niat yang tidak ikhlas apabila kerana tidak mendapatkan wang yang dijanjikan. Oleh itu, Tuhan telah melemahkan tok guru yang berjaya dikalahkan oleh lembaga tersebut.

Pengajarannya: Niatkan setiap perkara kerana Allah s.w.t, bentukkan hati yang IKHLAS dalam setiap perkara yang dilakukan semata kerana Allah s.w.t. Apabila ikhlas, akan datang RAHMAT Allah s.w.t dengan memudahkan segala urusan dengan bantuan-Nya.

Ilmu agama cukup tinggi nilainya.. Ilmu dunia juga penting. Pengalaman juga diertikan ilmu. Mahasiswa/wi kelas pertama bukan setakat menerima ilmu sahaja, namun perlu dipraktikkan. Mahasiswa/wi perlu mecabar diri dengan menceburi pelbagai bidang, kerana Islam menuntut mencari ilmu yang berterusan sehingga ke liang lahad.

Imam Syafie telah menggariskan 6 syarat-syarat menuntut ilmu. Tidak kira ilmu apa pun jua, iaitu:

1) Kebijaksanaan (berakal)
2) Minat yang mendalam (kepekaan terhadap ilmu)
3) Bersungguh-sungguh (usaha)
4) Berkemampuan (harta) 
5) Bergaul dengan ilmuan (para guru)
6) Masa yang bersesuaian (menghargai masa)

Penceramah menekankan pelajar bahawa ADAB perlu dititikberatkan terhadap para guru. Mahasiswa/wi yang ingin berjaya perlu menjaga adabnya terhadap guru yang telah mendidiknya atau mengajar sebarang ilmu kepadanya. Dengan penjagaan adab ini, dapat memberi barakah terhadap ilmu yang dipelajari.
Wallahu 'alam..

Sedikit gambaran situasi di bahagian muslimat:
 
kehadiran muslimat yang ramai sedang khusyuk mendengar ceramah
 
kedudukan muslimin dan muslimat yang dipisahkan dengan tabir semasa sesi ceramah
 
 ceramah diakhiri dengan solat hajat perdana terhadap penindasan saudara seislam di Palestine, Gaza, Syiria  dan sebagainya

Nantikan kemunculan NUR QOLBI yang akan datang,Insya Allah...

Khamis, 22 November 2012

Falsafah Moden: Diskusi Ketiga

Huraikan kefahaman anda tentang Falsafah Rasionalisme.

Kewujudan falsafah Rasionalism ini adalah bermula dengan kebangkitan zaman Renaissance iaitu kelahiran semula. Tokoh Falsafah Rasionalism ini adalah Rene Descartes yang dianggap orang yang mula-mula mengutarakan bahawa "akal" adalah sumber yang terpenting bagi mengetahui sesuatu hakikat.
 
Selepas zaman pertengahan yang dikuasi oleh agamawan mendapat tentangan, maka agama yang bersumberkan "wahyu" ditolak kerana tidak dapat membuktikan kebenaran dengan tepat. Hal ini kerana ilmuan Barat "Descrates" telah menunjukkan sumber melalui pancaindera atau pengalaman adalah boleh menjadi tidak benar.

Ianya seperti contoh: illusi atau mimpi, benarkah kejadian yang dialami ini boleh dianggap benar? Padahal hakikat yang dirasai pancaindera tersebut adalah mainan semata-mata. 

Oleh itu, beliau lebih suka kembali pada kaedah zaman falsafah kuno Yunani sebagaimana Plato, Aristotle yang menggunakan sumber akliah bagi pencambahan ilmu. Descrates juga suka berfikir untuk mencari sebab dan musabab sesuatu itu sehinggalah ke tahap yang lebih tinggi hingga benar-benar tidak boleh dirungkaikan lagi.

Menyingkap zaman Renaissance lagi, manusia mula menggunakan akal fikiran mereka dengan bebas. Maka Descrates mengambil akal sebagai sumber untuk mengaktifkan fikirannya bagi menilai kebenaran. Dengan menggunakan akal, lahirlah ilmu yang pelbagai yang menyebabkan manusia mampu mentadbir dunia dengan ciptaan yang lebih baik. 

Oleh itu, muncul istilah "humanism" kerana manusia bertindak dengan menggunakan akal fikiran tanpa batas bagi menunaikan kehendak mereka.

Falsafah ini jelas berbeza dengan Falsafah Empirisme yang menggunakan kaedah pengalaman sebagai sumber ilmu. 

Begitulah ideologi Falsafah Barat bagi kajian mereka. Walaubagaimanapun, kedua-dua sumber ini adalah penting juga kepada kita umat Islam bagi membuktikan kebenaran sumber utama iaitu al-Quran itu sendiri.

Wallahu'alam. 

Khamis, 8 November 2012

Bincangkan pembaharuan dalam masyarakat Eropah di zaman Renaissance hasil dari pengaruh keilmuan dan interaksi dengan umat Islam.

Assalamualaikum. Respon mengenai soalan Ustazah tentang pembaharuan dalam masyarakat Eropah di Zaman Renaissance hasil dari pengaruh keilmuan dan interaksi dengan umat Islam.

Sebelum itu, sedikit pemahaman dari kemunculan zaman Renaissance ini adalah kerana pembaharuan golongan tertentu daripada zaman gelap. Saya mendapat tahu bahawa melalui kaedah "Garisan Waktu" di Barat iaitu terdapat 4 zaman, yang pertama adalah "Zaman Klasik Greek" yang difahami di zaman ini lahir tokoh-tokoh falsafah seperti Plato, Socrates, Aristotle dan sebagainya. Mereka membincangkan sesuatu persoalan yang timbul bagi mencari hakikatnya lantas menghasilkan pelbagai teori dan ilmu dari kefahaman mereka. Oleh itu, di zaman ini kaedah berfikir adalah tidak terhad dan tanpa batas.

Namun, setelah munculnya zaman kedua iaitu "Zaman Pertengahan", Institusi agama adalah berkuasa di Eropah secara mutlak. Peranan Paderi atau Pope sebagai ketua yang perlu dipatuhi. Gereja menjadi pusat pentadbiran. Masyarakat adalah berdasarkan iman dan taqwa sebagai penganut Kristian. Tokoh-tokohnya adalah seperti St. Thomas Aquinas, St. Augustine dan sebagainya. Mereka lebih mementingkan keagamaan, tentang Tuhan dan sumber utamanya adalah bible semata. Semua bahagian politik, ekonomi, perdagangan dan lain-lain telah dikuasai oleh golongan agamawan. Tidak boleh dikuasai oleh orang lain yang tiada taraf agama yang tinggi. Oleh yang demikian, zaman ini juga dikenali sebagai zaman gelap kerana ilmu terdahulu tidak dikembangkan dan diteruskan sebagaimana ahli-ahli falsafah Islam yang seiring di zaman ini mempelajari pelbagai ilmu tanpa had. Ilmuan telah disekat untuk mempelajari ilmu yang lebih tinggi.

Oleh itu, golongan ilmuan di zaman gelap ini lari dari kongkongan pemerintahan gereja kepada Tamadun Islam sebagaimana yang kita ketahui peristiwa sejarah kemasukan Islam ke Barat dengan pembukaan Kota Konstantinopel yang telah berhijrah ke Itali. ketika ini, Ahli Falsafah Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd dan ramai lagi giat aktif memperluaskan ilmu mereka daripada idea zaman Greek. Mereka berfikiran terbuka dengan kedatangan ilmuan Barat bagi mempelajari ilmu-ilmu mereka. Karya-karya Arab telah diterjemahkan ke Bahasa Latin bagi memudahkan ilmuan Barat mempelajarinya. Hal ini dibuktikan dengan pembinaan Universiti di Itali di Bologna dan di Padova. Selepas itu, hasil dari ilmu yang diperolehi, ilmuan Barat kembali ke Eropah bagi membangunkan kembali Tamadun mereka.

Di waktu ini, pemerintahan gereja oleh agamawan terpaksa akur dengan fakta dan teori yang telah berjaya dibuktikan dengan jelas oleh golongan ilmuan. Ilmuan Barat mengatakan bahawa sumber atau ideologi agama tidak mampu untuk membuktikan kebenaran terhadap sesuatu perkara, malah mereka mengatakan yang tidak benar, juga disebabkan faktor golongan agama yang tidak memberi contoh yang baik.  Akhirnya, pelbagai ilmu seperti kesusateraan, kesenian, sains mampu berkembang di Barat. Inilah titik tolak permulan Zaman Renaissance hasil dari ilmuan umat Islam. Mereka memartabatkan ilmu Greek, dan menjadikan mereka mementingkan kehendak manusia itu sendiri yang dikenali sebgai "Humanism" dengan kepentingan material yang menguntungkan. Manakala agama "Kristian" tidak menjadi ikutan yang kuat menjadikan manusia bebas memilih keputusan.

Maka seterusnya telah lahir zaman Moden dan akhirnya zaman Teknologi. Di zaman pembaharuan inilah ilmuan Barat bangkit dengan mengaplikasikan ilmu mereka dengan menghasilkan pelbagai ciptaan dengan menggunakan ilmu sains. Seperti Isaac Newton dengan teori graviti, pembuatan telefon Granhambell. Keseniaan Leonardo da Vinci dan banyak lagi. Kesimpulannya, ilmu adalah satu kepentingan untuk membawa perubahan masyarakat dan tamadun, tetapi hakikat kebahagiaan sebenar kita sebagai umat Islam adalah keseimbangan kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Wallhu 'alam.

Apakah Pengertian Falsafah?

Sedikit sebanyak pemahaman mengenai persoalan pensyarah tentang apa pengertian falsafah. Kita boleh lihat mengenai sabjek pengantar falsafah, falsafah agama, falsafah abad pertengahan dan sebagainya, di permulaan pembelajaran akan diterangkan maksud atau pengertian falsafah itu sendiri. Sebagaimana perkongsian sahabat-sahabat yang lain, telah jelas maksud perktaan falsafah itu sendiri yang kebanyakkannya mengatakan bahawa perkataan falsafah itu berasal dari zaman Greek yang mana dari sudut bahasanya menyebut " Philiensophos". Dipecahkan perkataan "Philien" yang bermaksud menyintai dan "Sophos" bermaksud hikmah. Istilah Yunani juga disebut sebagai "Philosophia" yang membawa maksud yang sama iaitu "mencintai hikmah/ bijaksana".

Kenapa pengertian falsafah dimaksudkan sebagai "mencintai hikmah", adalah kerana melihat ahli-ahlinya yang giat berfikir mengenai sesuatu yang muncul dari pemikiran mereka. Mereka iaitu ahli falsafah digelar sebagai "Pencinta hikmah" kerana ingin mencari kebenaran dari sesuatu persoalan yang ditimbulkan.

Bak kata Dr. Indriaty (Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah UKM), ahli falsafah ini suka berfikir dan mereka amat menyintai ilmu pengetahuan kerana mereka mempunya sifat ingin tahu yang amat mendalam untuk memastikan sesuatu perkara yang mereka musykil untuk sampai hakikat kebenarannya. Oleh itu, mereka secara bersungguh-sungguh untuk mencari jawapan dengan permulaan menimbulkan persoalan "kenapa? atau apakah?".

Ahli falsafah lebih cenderung memikirkan sesuatu perkara yang belum adanya natijah yang muktamad yang berbeza dengan apa yang telah termaktub dalam al-Quran. Mereka adalah bersumberkan rasional atau akal fikiran bagi mencari logik untuk membuktikan kebenaran yang mereka kaji dan nilai. Jadi, tidak hairanlah jika ahli-ahli falsafah berbeza dari sudut pandangan dan teori yang mereka utarakan.

Maka di bidang falsafah ini, kita akan mempelajari falsafah-falsafah yang telah dikaji oleh orang-orang yang terdahulu dari Barat dan Timur mengenai pelbagai sudut. Mereka menjadikan falsafah sebagai "pegangan hidup" mereka sebagaimana konsep falsafah yang kita maklum, seperti contoh falsafah hidup kita sendiri atau falsafah sesuatu institusi yang mana merangka "matlamat" yang ingin dicapai. Akhirnya, moga kita semua mendapat manfaat dan menilai yang baik daripada bidang falsafah ini.

Wallahu 'alam.

~ perkongsian yg lain~