Suasana Ramadhan…
Bila tiba sahaja bulan Ramadhan, maka banyaklah perkara yang membicara tentangnya. Di blog-blog, televisyen, radio, surat kabar dan banyak lagi sumber yang lain. Kebanyakkan sudah tahu ada apa pada bulan ramadhan itu. Jadi diri Cuma hanya merenung akan peristiwa setiap kali tiba di bulan barakah ini.
Kali ini di tempat baru
Di kampus baru ku sekarang, tidak lari suasananya sama sahaja. Tapi mungkin ada sedikit kelainan penambahan dalam hidup ketika mera’ikannya. Diri suka berbuka di masjid buat masa sekarang. Alhamdulillah, kolej ku berdekatan dengan masjid. Cuma perlu berjalan kaki untuk ke sana bersama rakan. Jam baru pukul 6 setengah tapi sudah ramai memenuhi kaki lima koridor masjid. Sangat penuh. Juadah dihidangkan menggunakan dulang. Satu dulang lima orang. Setiap waktu kami sampai, mesti nasi kehabisan dan terpaksa menunggu dimasak kemudian. Kadang-kala diri duduk bersama dengan orang yang tidak dikenali, namun mereka ramah seperti kenalan sendiri. Bila di Tanya fakulti, mereka bukan dari pengajian Islam tapi perilaku seperti dari fakulti tersebut.
Solat tarawikh
Alhamdulillah, syukur diri dapat mengunjung ke rumah Allah yang barakah. Keluasan sahaja dapat menarik minat apabila sembahyang berjemaah. Berduyun-duyun merapatkan sof. Bagi muslimat diberi peluang memenuhi bahagian bawah yang kebiasaanya tempat muslimin. Manakala muslimin dikerah ke tingkat atas. Bila lihat jemaah muslimat yang ramai, memenuhi warna putih telekung, tiba-tiba diri terfikir akan sesuatu tempat yang pasti akan terjadi kelak di akhirat. Otak merewang mengenangkan padang mahsyar, yakni pertemuan makluk dengan al-Khaliq pencipta kita. Bagaimanakah nasib diri ini? Terbayang suasananya bersama umat yang ramai… apakah pandangan Allah terhadap kita tika itu? Sembahyang terus didirikan sambil mengenangnya =(
Pulang tarawikh
Lebihan nasi lauk-pauk tersedia, Alhamdulillah…rezki melimpah-luah. Tibanya di kolej moreh telah tersedia, tapi diri telah kekenyangan. Cukuplah sunnah nabi makan berpada-pada. Sesi tadarus bersama taulan mengikut kumpulan. Bacaan dihayati, saling tegur-menegur. Penuhilah bulan ini dengan amalan kerana akan dilipat kali gandakan sehingga 70x. Amalan sunat akan menjadi pahala seperti amalan wajib.
Makna di bulan ramadhan, takrif puasa zahir dan batin
Banyak tazkirah-tazkirah boleh diikuti. Dari radio IKIM acap kali boleh sebagai pendekatan tazkiatul nafs ( peringatan diri) untuk pembersihan jiwa bagi menapis bisikan syaitan. Bagaimana perasaan diri ketika di bulan ini? Adakah sama,tiada rasa apa-apa? Jadi perlu sentiasa menimbulkan kepentingan bulan barakah ini. Menjadikan setiap perbuatan adalah ibadah. Memahami erti sebenar berpuasa. Diri mudah terpedaya jika hanya memahami dari segi konsepnya tapi tidak dihayati. Selain menahan diri dari lapar dahaga serta penjagaan seluruh pancaindera, perlu juga difahami hikmahnya yang akan menjadi kesan pada diri bukan setakat di bulan Ramadhan tapi berkekalan terhadap jati diri. Terkenang akan kuliah akhlak dan tasawuf, ustaz mengatakan bahawa diri ini merangkumi jasad, al-nafs, dan roh. Ketiga-tiga unsur ini perlulah dijaga. Tetapi diri selalu lupa akan penjagaan roh yang penuh tersirat diabaikan. Di bulan ini adalah kesempatan diri untuk mengawal syahwah yakni nafsu yang ada pada diri. Penjagaannya meliputi tahap kerohanian yang dikecapi. Bila dihitung, masyarakat lupa akan kewujudannya yang perlu sentiasa di updatekan. Iaitu hubungan diri dengan Allah. Sebagaimana itu adalah tahap nilaian kita di sisi Tuhan. Menyorot mereka yang terdahulu, mereka asyik dengan kecintaan pada Allah. Hal yang demikian kerana mereka betul-betul mengenali Tuhan itu sendiri, menghayati kebesaranNya tanpa mementingkan perkara lain.
Cuba perbaiki diri di bulan barakah
Kebesaran bulan Ramadhan apabila pintu neraka tertutup dan pintu syurga terbuka, ganjaran dilipat gandakan. Terdapatnya malam lailatul qadar lebih baik dari seribu malam,yakni kemakbulan berdoa. Roh-roh tenang di alam barzah. Allah memuliakan bulan ini, jadi tidak mahukah diri mengambil peluang perbaiki kelemahan zahir dan batin? Harap diri tidak biarkan Ramadhan berlalu sepi tanpa mujahadah ila rabbi. Perbanyakkan berdoa untuk perubahan diri agar dengan berkat bulan ini sebagai bertawasul dengan amalan berpuasa tersebut. Mudah-mudahan Allah mengangkat doa dan memandang usaha diri sebagai bukti cinta dan kasih terhadap-Nya. Amin.