Salah satu cara mengenal Allah ialah dengan mengenal diri sendiri. Maksudnya ialah hakikat diri yang sebenarnya. Adapun maksud diri yang sebenarnya itu bukanlah diri yang bersifat lahiriah, kerana jasad ini tidak membawa makna yang sebenar untuk mengenal Allah SWT.
Pada abad moden ini ramai dikalangan kita tidak mengenal dirinya yang sebenar. Mereka menganggap bahawa dirinya hanyalah tubuh badan yang terdiri daripada kulit, daging, tulang, darah dan sebagainya. Yang dimaksudkan dengan sebenarnya ialah diri yang batin iaitu diri yang datang dan akan kembali kepada Allah SWT.
Ulama ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid berpegang bahawa diri kita ini merupakan tangga untuk mengenal Allah, sesuai dengan dalil yang mengatakan: “Siapa yang mengenal dirinya, sesungguhnya ia akan mengenal Tuhan-nya”. Dikalangan ulama tasauf atau ulama ilmu ketuhanan selalu menasihatkan carilah diri kamu di dalam diri”, maksudnya ialah menyuruh agar kita mencari hakikat diri kita yang sebenarnya terlebih dahulu. Apabila kita telah menemukan diri kita yang sebenarnya pasti kita akan mengakui hakikat adanya Allah SWT.
Hakikat diri yang sebenarnya merupakan roh atau jiwa ataupun rohani yang ada dalam diri manusia itu sendiri yang harus dikenali setiap manusia. Diri batiniah ini tidak dapat dilihat atau diraba oleh mata lahiriah dan tangan manusia. Walaupun di dalam Al Quran “diri” itu disebut dengan berbagai istilah, tetapi tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada manusia supaya berfikir bahawa betapa luasnya “diri” yang hakikat itu di dalam manusia. Diri manusia dilengkapi oleh Allah dengan sifat-sifat tertentu, kemudian sifat-sifat tersebut dinilai atau dihisab samada baik ataupun buruk.
Firman Allah SWT maksudnya:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertnggungjawapannya”. (Al Isra’ 36)
Allah menjelaskan kepada kita tentang istilah jiwa dan sifat yang terdapat pada jiwa, iaitu pendengaran, penglihatan, disamping roh juga akan diuji tentang ketakwaannya kepada Allah. Itulah sebabnya ketika Allah berfirman kepada roh-roh atau jiwa sedia untuk berbakti dan melaksanakan perintah Allah SWT. Untuk melakukan dan melaksanakan perintah tersebut maka diciptakanlah jasad, lalu Allah menjadikan Adam. Roh telah berikrar dan berjanji kepada Allah, maka untuk membuktikan dan berbuat sesuatu maka roh memerlukan tempat iaitu jasad.
Istilah batin disebut juga dalam Al Quran dengan qalbi. seandainya qalbi tersebut diterangi dengan nur maka selamatlah seseorang itu. Maka sekiranya tiada nur, gelaplah seseorang itu. Qalbi mesti mempunyai asas yang membolehkannya selamat yang hanya Allah menentukannya. Sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam diri berupa nafas, akal, nafsu dan roh bila menjadi satu maka dinamakan dengan insan
.
.
Qalbi di dalam Al Quran diistilah sebagai diri atau hati. Qalbi sebenarnya mengetahui apa yang patut dibuat dan apa yang patut dilaksanakan mengikut nilai-nilai diri itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya:
“Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”. (As Sham, 9 - 10)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan