~Yang Budiman~

Selasa, 21 Februari 2012

.::BERMASYARAKAT KERANA ALLAH::.

Alhamdulillah, diberi peluang kembali lagi di bumi perbukitan ilmu. Kali ini balik awal seminggu atas sebab urusan yang perlu diuruskan. Untuk melancarkan program yang bakal dijalankan.

Asyik berprogram untuk mengumpul Learning Contrac (LC) yang akan masuk dalam pointer. Untuk aktiv kolej sebagai jaminan tidak dibuang kolej. Entah bagaimana pengaplikasiannya. Tapi program ni adalah program bawah kolej yang terbuka kepada sesiapa saja warga kolej. Jadi Cina, India dan pelbagai agama boleh sertai.

Pelbagai fakulti turut serta, kurang pula peserta dari pengajian Islam. Melihatkan pelbagai ragam mereka, pencampuran bebas lelaki  dan perempuan menyebabkan diri betul-betul rasa agak tidak selesa.

Alhamdulillah ada sahabat menegur:

 “ sebenarnya tu peluang kita untuk bersama dengan mereka semua, untuk berdakwah. Takkan kita hanya dengan puak kita saja, mereka kita biarkan. Bila bersama meraka atleast kita boleh pengaruhi mereka, dan mereka sudi berkawan dengan kita”.

Betul juga katanya, diri berfikir: walaupun diri tidak suka, tapi sukakanlah kerana Allah. Sebagai tanggungjawab bermasyarakat, menunjukkan nilai -nilai murni Islam. Kuatkan diri untuk istiqamah, bukan diri pula yang dipengaruhi mereka. Kesabaran dan ketaqwaan perlu ada dalam setiap perjalanan aktiviti. InshaAllah.

Di samping itu, antara program lain semasa cuti adalah pergi ke Negeri Kedah sempena program anak angkat. Ianya adalah program kelas anjuran jabatan dengan kerjasama ABIM. Jadi, suasana islamik dapat dirasakan. Alhamdulillah.

Program selama 6 hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.  Antaranya, menjelah hutan mendakinya untuk sampai ke dalam Gua Wang Bhurma. Melihat keindahan ciptaan Allah yang sungguh menakjubkan. Batu-batu gua yang begitu unik yang terhasil dari tempoh bertahun-tahun lamanya. Putih bersinar, dan ada seperti permata yang berkilauan sungguh menakjubkan.

Merangkak berjalan dalam gua, dan sempat bertapa dalam keadaan gelap gelita, senyap dan hanya denyutan nadi yang terasa sambil merenung kalimah Allah di dalam hati. Sungguh tenang. Menyelusuri sungai dalam gua amat menjadikan pengalaman yang menarik dan agak lucu.

Jumpa maklhuk Allah yang unik. Pacat. Yang berusaha mencari rezekinya untuk menghisap darah. Sungguh unik melihatnya walaupun agak geli. Makhluk yang kecil itu boleh melemahkan jiwa yang besar ini. Sungguh gementar rasanya. Subhanaallah ciptaan Allah.

Diberi peluang untuk menaiki bot pergi kelautan yang begitu indah. Berhenti di tengah-tengah laut yang membiru, mengambil kesempatan menikmati pemandangan di sana, lalu terlintas ianya adalah satu pahala melihat lautan tanda kebesaran Allah. Allahu Akhbar!

Siap disediakan ikan segar untuk digoreng bersalut tepung , makan dengan panas-panas bersama sos cili yang digoreng atas bot. Sungguh dapat merenung nikmat anugerah Allah. Tak sedar kulit muka diragut cahaya matahari. Mulalah dapat make up free shadow di muka kemerahan.

Seterusnya acara sukaneka bersama penduduk tersebut. Terhibur melihat kanak-kanak suka dengan permainan yang disediakan. Mereka masih muda di dunia, sedikit dosanya berbanding  diri ini. Maka perlulah merendahkan diri di sisi mereka. Sungguh mulia jiwa kanak-kanak yang selalu Rasulullah s.a.w muliakan.

Di belah malam program motivasi dijalankan kepada budak- budak sekolah anak kampong tersebut. Mengasah kemampuan untuk berinteraksi sesuai dengan tahap kefahaman mereka. Permainan dan sedikit motivasi belajar dikaitkan. Moga kekuatan hidup bersama Tuhan membuatkan mereka berkobar berusaha untuk cemerlang di dunia dan akhirat. Aamiin.

Ziarah menziarahi dari rumah ke rumah sedikit sebanyak dapat mengetahui keadaan kampong tersebut. Cuba memahami  jiwa mereka yang kesusahan serba kekurangan sekaligus diri  bersyukur dengan nikmat yang dimilki. Budaya kehidupan mereka sebagai nelayan dihayati menambah lagi pengatahuan.

Peluang untuk menjalinkan ukhwah sesama keluarga angkat juga perlu mempunyai batasnya, adab dan pergaulan harus dijaga. Walaupun kita menganggap ianya sebagai adik- beradik angkat, namun syariat Islam perlu diutamakan. Moga ukhwah ini diredai Allah sebagai silaturrahim sesama saudar seislam.  

Hidup dalam organisasi begitu juga. Rakan-rakan dari muslimin dan muslimat perlu ada batasnya. Tidak terlalu bersuka saja dengan aktiviti sambil gelak ketawa. Ini yang perlu diingatkan selalu kepada diri agar biah terjaga. Memang manusia mudah lupa dan leka.

Hiduplah bermasyarakat, menggunakan ilmu kefahaman untuk dipraktikkan. Bukan hanya belajar semata untuk mengejar  kecemerlangan dalam pelajaran, kerana sesungguhnya di akhirat kelak akan dipersoalkan.

Dalam hadis, Rasulullah s.a.w memberitahu: “ Dua kaki hamba-Nya tidak bergerak pada hari kiamat sehingga dia ditanya soalan UMURnya dihabiskan untuk apa, ILMUnya digunakan untuk apa, bagaimana dia memperoleh HARTAnya dan ke mana dia membelanjakannya, dan TUBUHnya digunakan untuk apa” .

Maka renungilah setiap aktiviti harian kita adakah dapat menjawab dengan baik di sisi Tuhan kelak? Moga tidak menjadi orang yang rugi dan leka dengan peluang hidup di dunia ini. Jalankanlah kerana-NYA. Sungguh indah jika berlandaskan syariat Islam~

Wallahu ‘alam.

~ perkongsian yg lain~