~Yang Budiman~

Khamis, 20 Mac 2014

Jadikan “cinta Allah” dalam setiap cintamu

Soal jodoh, memang tidak diduga. Perancangan Allah s.w.t yang hamba-Nya tidak ketahui. Mengimbau, di zaman sekolah diri amat pelik dengan budaya “couple”. Pelajar lelaki dan perempuan sibuk mencari pasangan couplenya. Dukacita bila mereka sudah berkasih-kasihan, bercinta dan kemudian sesuka hati memutuskan hubungan kasih mereka. Trend. Sedih lihat sahabat yang putus hubungan. Membuatkan diri tidak akan menerima budaya ni. Cinta itu seharusnya kepada tempat yang sepatutnya, kepada pemilik yang halal dimiliki. Memang Islam mengharamkan istilah “couple”.

Kita tahu bahawa umat Islam wajib mentaati Allah dan Rasul-Nya lebih utama dari segalanya, mengasihi Pencipta kita Allah s.w.t. kemudian kekasih-Nya Rasulullah s.a.w mesti menjadi ranking pertama dan kedua dalam hidup. Bukan setakat cinta, malah dibuktikan dengan amal serta menunjukkan bagaimana yang dikatakan sebagai pencinta Allah dan Rasul itu. Cinta Allah dan Rasulullah perlu berterusan..mencarinya, memperbaikinya, agar sentiasa dijaga cinta ini. Amin.

Pertama-tama dalam hidup, orang yang telah mengajarkan cinta utama ini adalah ibunda tercinta al-marhumah Rosiah bt hj.Abd. Rauf..(al-Fatihah). “Ibu” insan yang telah melahirkan dan mendidik hingga dewasa. Oleh itu wajib kita mentaatinya selepas Allah dan Rasul. Kasih ibu, mahukan yang terbaik buat anaknya, begitu juga dalam soal pemilihan pasangan hidup, ibu berharap seorang yang beriman dan baik budi perkertinya.

Menjadi keutamaan diri agar bakal suami biarlah yang dipilih oleh ibu. Kerana segala keputusan ku serah pada ibu yang menentukan. Kerana ku tahu, keputusan ibu adalah yang terbaik. Ibu yang telah mengajarkanku untuk cintakan agama, dengan mendekatkan diri pada Allah serta sunnah Rasul, maka harap insan yang bakal menjagaku selepas ibu juga akan terus mengajarkanku untuk cinta Allah dan Rasulullah s.a.w.

Ketentuan Allah, hadirnya dia menyenangkan ibu lalu terus mengikat pertunangan. Tegasnya ibu, menasihati anak bahawa tiada lelaki yang boleh istimewa kecuali adanya ikatan perjanjian. Terasa awal. Bila pula pengakhirannya? Yang tahu hak milik diri tetap kepunyaan mutlak Allah s.w.t. Bila-bila ajal boleh menjemput, dan jodoh itu tidak tahu di dunia atau sebaliknya. Terus menjaga diri, mujahadah mengawal kehendak, dan menjaga keutamaan pada diri.

Ujian bukan setahun dua, ikatan pertunangan lebih dari itu. Bila ditanya sahabat “tidak takut ke ikat lama-lama?”, “macam mana nak jaga hubungan sepanjang ikatan ni?”. Aku senyum.  Yang pasti, kekuatan itu hadir bila bergantung pada Allah. Tawakkal. Perkara yang ku ingatkan pada dia, percaya qodo’ dan qadar, ajal maut, jodoh dan rezeki semua dari Allah. Manusia tidak berhak menentukannya.

Buku-buku novel cinta cuba dihindari, bagi menjaga hati. Tapi meneliti beberapa pendapat-pendapat pendakwah hebat; Ustaz Hasrizal dengan buku “Aku terima Nikahnya”, Ustazah Fatimah Syarha “Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul”, menjadi motivasi. Tersedar bila kata Ustaz Hasrizal “Pertunangan janganlah lebih dari 1 atau 2 tahun, kelak tanpa sedar hati diisi maksiat”. Merenung. Benar, namun bukan kudratku seorang hawa yang masih di bawah jagaan bonda.

Membaca novel “Mawar Berduri” dan juga “Tautan Hati” yang belum dimiliki mendidik diri agar menjadi muslimah yang mahal, mahal dengan maruah diri. Salah satu peringatanku bahawa wanita itu fitnah, fitnah walau kepada suaminya sendiri, kerana wanita, lelaki boleh lupa sebagai pemimpin yang utama.

Jarak yang jauh, moga menjauhi juga segala kemungkaran-Nya. Merasakan diri sentiasa berdosa dengan mainan hati, lakukanlah sunat taubat selalu dan sentiasa mohon petunjuk Allah dalam setiap langkah. Salah satu cara menjaganya, dengan menyibukkan diri kita dengan pelbagai cara. Kerana bertunang bukanlah cara untuk saling bersama, perlu sentiasa berhubung, berjumpa, meluahkan kata-kata cinta di Hp atau FB. Kerana cinta adalah lebih manis selepas nikah yang mendapat berkat Allah s.w.t.

Hikmahnya, diri lebih fokus untuk belajar, tidak gusar memikirkan soal jodoh. Berserah pada Tuhan. Adanya ikatan ini menundukkan pandangan dan berjaga dalam pergaulan menjadi prinsip. Kadang mendapat andaian dikatakan seorang yang ego, tidak mudah berurusan dengan lelaki, malah unfriend dalam Fb.Huh..Hanya mampu memohon maaf. Mungkin suatu hari, akan menghubungkan kembali silaturrahim..Insya Allah. ^_^v

Alhamdulillah, tanggal 6 Disember 2013, diri selamat diijabkabulkan dengan pemuda pilihan Allah. Syukur, akhirnya dia tetap yang pertama, tidak pernah bertukar ganti. Yang pasti, pernikahan bukanlah perkara remeh dengan hanya penyatuan dua hati.. Tetapi adalah tanggungjawab  bersama dalam mendidik diri dalam keberlangsungan kehidupan yang diredoi-Nya. Amin.


Teringat ibu mengajarkan etika isteri kepada suami pesan ibu:
-menjaga diri untuk suami, menjaga akhlak dan tingkah laku
-berhias untuk suami, dalam keadaan tidak berbau, pakaian kemas dan sebagainya
-mendengar kata suami serta menjaga keperluan suami..

Mengingatkanku tentang tugas sebagai isteri kepada suaminya yang perlu dijaga.. satu amanah besar. Seorang perempuan, apabila telah bernikah maka hendaklah mentaati suaminya daripada orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)


Mentaati suami besar pahalanya, dan membawa jalan ke syurga, Rasulullah s.a.w berpesan:

“Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”
(Hadis riwayat ath-Thabarani)


>suami perlu ditaat selepas Allah dan Rasulullah, maka berdoalah agar kita menjadi isteri solehah, tidak bersikap nusyuz, tidak derhaka kepada suami yang boleh menghilangkan redo Allah pada isteri. Na’uzubillahi min zalik.

Perkahwinan Bukan Bermakna Menghalang Cita-Cita

Memang benar, tanggungjawab suami kepada isterinya, serta isteri bersama suaminya. Menjadi kebiasaan selepas berumah tangga isteri akan hidup bersama suaminya, pada pasangan yang baru berkahwin mungkin jarang akan berpisah dengan suaminya.

Kami mengambil cabaran. Aku dan dia meneruskan pengajian, dia yang masih di Bumi anbiya dan aku tetap di tanah air. Satu kekuatan yang telah biasa ditarbiyyah-> berjauhan dengan orang yang disayangi, sekaligus mempelajari sunnah Rasul apabila berjauhan dengan isteri Baginda demi menyampaikan dakwahnya.

Bak kata orang “sayang isteri, tinggal-tinggalkan”, “semakin berjauhan, semakin rindu disemai”, paling best dapat menyulam pahala kesabaran.. Amin. Asasnya adalah keredoan, andai suami redo dengan kehidupan isterinya, maka soal hala tuju isteri juga diredoi Allah. Terimakasih tak terhingga suami, secara gentle man mengambil jalan pernikahan sebagai modal menambah saham kita di syurga, walau tahu tanggungjawab suami adalah lebih berat. Namun, diri tetap redo dengan apa yang telah suami beri, kerana itu juga adalah Allah s.w.t  kurniakan. Syukur, dia tetap menggalakkan untukku menyambung pengajian. Fighting!

Lakarlah kehidupan dengan semangat spiritual dari Allah. Berazam untuk membela agama-Nya, melalui jalan dakwah. Menimba ilmu sebaiknya dan berusaha menyampaikannya kelak. Ambil hikmah belajar berlainan bidang, membuatkan suami isteri boleh bertukar-tukar idea dan berkongsi ilmu. Moga menjadi rutin tazkirah kita. Amin.



Pesan diri juga, bahawa kita punyai matlamat yang lebih utama, pada agama, masyarakat dan keluarga. Suami isteri perlu sedar akan hidup bermadu dengan “perjuangan” moga ianya membuktikan cinta kita pada al-Khaliq. Wallahu’alam.

Puisi Buat Suami Yang Jauh di sana..

Cinta tidak terhenti dengan hanya tertaut dua hati,
Kerana cinta itu pelbagai cabangnya;
Pada Khaliqnya, Rasulnya serta perjuangannya,
Cinta memerlukan pengorbanan dan kesabaran,
Hidup penuh dengan ujian dan amanah,
Adalah hidup bukan sekali cuma,
Kerana kebangkitan kehidupan akan datang adalah pasti,
Berdoa pada Allah tempat bergantung,
Memohon Petunjuk dan Redo-Nya selalu..
Moga cinta bersemai sehingga di Syurga nun kekal abadi.. Amin Ya Rabb.

~ perkongsian yg lain~