Soal jodoh, memang
tidak diduga. Perancangan Allah s.w.t yang hamba-Nya tidak ketahui. Mengimbau,
di zaman sekolah diri amat pelik dengan budaya “couple”. Pelajar lelaki dan
perempuan sibuk mencari pasangan couplenya. Dukacita bila mereka sudah
berkasih-kasihan, bercinta dan kemudian sesuka hati memutuskan hubungan kasih
mereka. Trend. Sedih lihat sahabat yang putus hubungan. Membuatkan diri tidak
akan menerima budaya ni. Cinta itu seharusnya kepada tempat yang sepatutnya,
kepada pemilik yang halal dimiliki. Memang Islam mengharamkan istilah “couple”.
Kita
tahu bahawa umat Islam wajib mentaati Allah dan Rasul-Nya lebih utama dari
segalanya, mengasihi Pencipta kita Allah s.w.t. kemudian kekasih-Nya Rasulullah
s.a.w mesti menjadi ranking pertama dan kedua dalam hidup. Bukan
setakat cinta, malah dibuktikan dengan amal serta menunjukkan bagaimana yang
dikatakan sebagai pencinta Allah dan Rasul itu. Cinta Allah dan Rasulullah
perlu berterusan..mencarinya, memperbaikinya, agar sentiasa dijaga cinta ini.
Amin.
Pertama-tama dalam hidup, orang
yang telah mengajarkan cinta utama ini adalah ibunda tercinta al-marhumah
Rosiah bt hj.Abd. Rauf..(al-Fatihah). “Ibu” insan yang telah melahirkan dan
mendidik hingga dewasa. Oleh itu wajib kita mentaatinya selepas Allah dan
Rasul. Kasih ibu, mahukan yang terbaik buat anaknya, begitu juga dalam soal
pemilihan pasangan hidup, ibu berharap seorang yang beriman dan baik budi
perkertinya.
Menjadi keutamaan diri agar
bakal suami biarlah yang dipilih oleh ibu. Kerana
segala keputusan ku serah pada ibu yang menentukan. Kerana ku tahu, keputusan
ibu adalah yang terbaik. Ibu yang telah mengajarkanku untuk cintakan agama,
dengan mendekatkan diri pada Allah serta sunnah Rasul, maka harap insan yang
bakal menjagaku selepas ibu juga akan terus mengajarkanku untuk cinta Allah dan
Rasulullah s.a.w.
Ketentuan
Allah, hadirnya dia menyenangkan ibu lalu terus mengikat pertunangan. Tegasnya
ibu, menasihati anak bahawa tiada lelaki yang boleh istimewa kecuali adanya
ikatan perjanjian. Terasa awal. Bila pula pengakhirannya? Yang tahu hak milik
diri tetap kepunyaan mutlak Allah s.w.t. Bila-bila ajal boleh menjemput, dan
jodoh itu tidak tahu di dunia atau sebaliknya. Terus menjaga diri, mujahadah
mengawal kehendak, dan menjaga keutamaan pada diri.
Ujian bukan
setahun dua, ikatan pertunangan lebih dari itu. Bila ditanya sahabat “tidak
takut ke ikat lama-lama?”, “macam mana nak jaga hubungan sepanjang ikatan ni?”. Aku senyum. Yang pasti, kekuatan itu
hadir bila bergantung pada Allah. Tawakkal. Perkara yang ku ingatkan pada dia,
percaya qodo’ dan qadar, ajal maut, jodoh dan rezeki semua dari Allah. Manusia
tidak berhak menentukannya.
Buku-buku
novel cinta cuba dihindari, bagi menjaga hati. Tapi meneliti beberapa
pendapat-pendapat pendakwah hebat; Ustaz Hasrizal dengan buku “Aku terima
Nikahnya”, Ustazah Fatimah Syarha “Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul”,
menjadi motivasi. Tersedar bila kata Ustaz Hasrizal “Pertunangan janganlah
lebih dari 1 atau 2 tahun, kelak tanpa sedar hati diisi maksiat”. Merenung.
Benar, namun bukan kudratku seorang hawa yang masih di bawah jagaan bonda.
Membaca
novel “Mawar Berduri” dan juga “Tautan Hati” yang belum dimiliki mendidik diri
agar menjadi muslimah yang mahal, mahal dengan maruah diri. Salah satu
peringatanku bahawa wanita itu fitnah, fitnah walau kepada suaminya sendiri,
kerana wanita, lelaki boleh lupa sebagai pemimpin yang utama.
Jarak yang
jauh, moga menjauhi juga segala kemungkaran-Nya. Merasakan diri sentiasa berdosa
dengan mainan hati, lakukanlah sunat taubat selalu dan sentiasa mohon petunjuk
Allah dalam setiap langkah. Salah satu cara menjaganya, dengan menyibukkan diri
kita dengan pelbagai cara. Kerana bertunang bukanlah cara untuk saling bersama,
perlu sentiasa berhubung, berjumpa, meluahkan kata-kata cinta di Hp atau FB. Kerana
cinta adalah lebih manis selepas nikah yang mendapat berkat Allah s.w.t.
Hikmahnya,
diri lebih fokus untuk belajar, tidak gusar memikirkan soal jodoh. Berserah
pada Tuhan. Adanya ikatan ini menundukkan pandangan dan berjaga dalam pergaulan
menjadi prinsip. Kadang mendapat andaian dikatakan seorang yang ego, tidak mudah
berurusan dengan lelaki, malah unfriend dalam Fb.Huh..Hanya mampu memohon maaf.
Mungkin suatu hari, akan menghubungkan kembali silaturrahim..Insya Allah. ^_^v
Alhamdulillah, tanggal 6 Disember 2013, diri selamat
diijabkabulkan dengan pemuda pilihan Allah. Syukur, akhirnya dia tetap yang
pertama, tidak pernah bertukar ganti. Yang pasti, pernikahan bukanlah perkara
remeh dengan hanya penyatuan dua hati.. Tetapi adalah tanggungjawab bersama dalam mendidik diri dalam
keberlangsungan kehidupan yang diredoi-Nya. Amin.
Teringat ibu
mengajarkan etika isteri kepada suami pesan ibu:
-menjaga
diri untuk suami, menjaga akhlak dan tingkah laku
-berhias
untuk suami, dalam keadaan tidak berbau, pakaian kemas dan sebagainya
-mendengar
kata suami serta menjaga keperluan suami..
Mengingatkanku
tentang tugas sebagai isteri kepada suaminya yang perlu dijaga.. satu amanah
besar. Seorang perempuan, apabila telah bernikah maka
hendaklah mentaati suaminya daripada orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang
sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud
kepada suaminya.”
(Hadis riwayat
at-Tirmidzi)
Mentaati suami besar pahalanya, dan membawa
jalan ke syurga, Rasulullah s.a.w berpesan:
“Apabila seorang perempuan telah mengerjakan
sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara
kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari
mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”
(Hadis riwayat
ath-Thabarani)
>suami perlu ditaat selepas Allah dan
Rasulullah, maka berdoalah agar kita menjadi isteri solehah, tidak bersikap nusyuz,
tidak derhaka kepada suami yang boleh menghilangkan redo Allah pada isteri. Na’uzubillahi
min zalik.
Perkahwinan Bukan Bermakna Menghalang Cita-Cita
Memang benar, tanggungjawab suami kepada isterinya,
serta isteri bersama suaminya. Menjadi kebiasaan selepas berumah tangga isteri
akan hidup bersama suaminya, pada pasangan yang baru berkahwin mungkin jarang
akan berpisah dengan suaminya.
Kami mengambil cabaran. Aku dan dia meneruskan
pengajian, dia yang masih di Bumi anbiya dan aku tetap di tanah air. Satu kekuatan
yang telah biasa ditarbiyyah-> berjauhan dengan orang yang disayangi,
sekaligus mempelajari sunnah Rasul apabila berjauhan dengan isteri Baginda demi
menyampaikan dakwahnya.
Bak kata orang “sayang isteri, tinggal-tinggalkan”, “semakin
berjauhan, semakin rindu disemai”, paling best dapat menyulam pahala
kesabaran.. Amin. Asasnya adalah keredoan, andai suami redo dengan kehidupan isterinya,
maka soal hala tuju isteri juga diredoi Allah. Terimakasih tak terhingga suami,
secara gentle man mengambil jalan pernikahan sebagai modal menambah saham kita
di syurga, walau tahu tanggungjawab suami adalah lebih berat. Namun, diri tetap
redo dengan apa yang telah suami beri, kerana itu juga adalah Allah s.w.t kurniakan. Syukur, dia tetap menggalakkan
untukku menyambung pengajian. Fighting!
Lakarlah kehidupan dengan semangat spiritual dari
Allah. Berazam untuk membela agama-Nya, melalui jalan dakwah. Menimba ilmu sebaiknya
dan berusaha menyampaikannya kelak. Ambil hikmah belajar berlainan bidang,
membuatkan suami isteri boleh bertukar-tukar idea dan berkongsi ilmu. Moga menjadi
rutin tazkirah kita. Amin.
Pesan diri juga, bahawa kita punyai matlamat yang
lebih utama, pada agama, masyarakat dan keluarga. Suami isteri perlu sedar akan
hidup bermadu dengan “perjuangan” moga ianya membuktikan cinta kita pada
al-Khaliq. Wallahu’alam.
Puisi Buat Suami Yang Jauh di sana..
Cinta tidak terhenti dengan hanya tertaut dua hati,
Kerana cinta itu pelbagai cabangnya;
Pada Khaliqnya, Rasulnya serta perjuangannya,
Cinta memerlukan pengorbanan dan kesabaran,
Hidup penuh dengan ujian dan amanah,
Adalah hidup bukan sekali cuma,
Kerana kebangkitan kehidupan akan datang adalah pasti,
Berdoa pada Allah tempat bergantung,
Memohon Petunjuk dan Redo-Nya selalu..
Moga cinta bersemai sehingga di Syurga nun kekal
abadi.. Amin Ya Rabb.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan