Selasa, 4 Januari 2011

.:KENALILAH PEMIKIRAN ISLAM SEMASA:.

p/s : atas kesibukkan dengan tugasan yang banyak, jadi ana mengambil tugasan madah dahulu sebagai perkongsian. moga lebih mengenali apa itu " Pemikiran Islam Semasa ".

DEFINISI PEMIKIRAN ISLAM SEMASA MENURUT BAHASA:
Pemikiran dalam bahasa Melayu berasal daripada kata 'fikir'. Ditambah dengan imbuhan pe dan an serta ditukar huruf kepada m sehingga menjadi ‘pemikiran’. Kata perbuatannya adalah berfikir (thinking). Bahasa Iggerisnya pula ialah think (thougt). Perkataan berfikir kini digunakan secara meluas. Dasar perkataan fikir berasal dari perkataan Arab 'fakkara', 'yufakkiru', 'tafkiran'

Sebahagian ahli bahasa mengatakannya daripada wazan 'dharaba' iaitu 'fakara', 'fakiru', 'fakran' atau 'fikran'. Jelasnya perkataan fikir berasal daripada perkataan 'al-fikr'. Dalam al-Quran, perkataan fikir tidak disebut dalam bentuk kata nama. Tegasnya dalam al-Quran, perkataan fikir disebut dalam bentuk fi’il madhi (perbuatan yang telah lepas) dan mudhari' (perbuatan yang sedang dilakukan), sighah mukhatab dan ghaib (kata ganti diri kedua dan ketiga). Misalnya fakkara dan tatafakkarun.

Jadi ketika al-Quran menggunakan cara ini seolah-olah Allah S.W.T ingin mengingatkan kita bahawa usaha berfikir adalah usaha yang sangat berkaitan dengan manusia. Ringkasnya pemikiran bolehlah didefinisikan sebagai satu aktiviti kekuatan rasional (akal) yang ada dalam diri manusia, sama ada ia berupa qolbu, roh, atau dzihnun, dengan pengamatan dan penelitian untuk menemukan makna yang tersembunyi dari persoalan yang dapat diketahui, atau untuk sampai kepada hukum-hukum, atau hubungan antara sesuatu. Pemikiran juga boleh didefinisikan sebagai rangkaian idea yang berasosiasi (berhubung kait) atau daya usaha reorganisasi (penyusunan semula) pengalaman dan tingkah laku yang dilaksanakan secara sengaja.
Takrif pemikiran yang digunakan dalam bidang psikologi sangat abstrak dan berbeza antara satu sama lain. Dalam penjelasannya pemikiran dapat diterangkan dengan menyenaraikan kegiatan-kegiatan yang terlibat dalam konsep pemikiran itu. Antara lain, pemikiran merujuk kepada kebolehan manusia untuk mencipta gagasan-gagasan, dan pengertian-pengertian, berhujah, menilai, dan membuat keputusan.
Perkataan Islam pula merujuk kepada makna selamat, sejahtera, aman dan seumpamanya. Ianya merupakan terma popular merujuk kepada pemikiran yang timbul dan muncul dalam masyarakat Islam. Perkataan semasa pula merujuk kepada kotemporari dan terkini iaitu keadaan sekarang yang pasti berubah-ubah mengikut keadaan. Jadi, konteks semasa bermakna interaksi berterusan dengan keadaan dan perubahan manusia dan alam.
DARI SEGI ISTILAH :
Definisi pemikiran Islam pula bolehlah disimpulkan sebagai gagasan atau buah fikiran pemikir-pemikir Islam atau ulama' bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah untuk menjawab persoalan-persoalan manusia dan masyarakat yang timbul disebabkan berbagai-bagai faktor. Antaranya ialah pertama, sebagai usaha untuk memahami atau mengambil istinbath (intisari atau pengajaran) hukum-hukum agama mengenai hubungan manusia dengan penciptanya dalam masalah ibadah. Juga hubungan sesama manusia dalam masalah muamalah. Masalah-masalah ini menyangkut hal-hal ekonomi, politik, sosial, undang-undang dan lain-lain. Kedua, sebagai usaha untuk mencari jalan keluar kepada persoalan-persoalan luar yang belum ada pada zaman Rasulullah S.A.W dan pada zaman sahabat atau untuk memperbaiki tindakan-tindakan tertentu berdasarkan roh Islam. 

Ketiga, sebagai penyesuaian antara prinsip-prinsip agama dan ajaran-ajarannya dengan pemikiran asing yang mempengaruhi pemikiran umat Islam. Keempat, sebagai pertahanan terhadap akidah Islam dengan menolak akidah, kepercayaan lain yang bertentangan dengan ajaran Islam dan menjelaskan akidah Islam yang sebenarnya. Kelima, untuk menjaga prinsip-prinsip Islam agar tetap utuh sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW sepanjang masa hingga ke akhir zaman.
Dalam hal ini, Muhammad al-Bahi mendefinisikan pemikiran Islam sebagai usaha akliah oleh para ulama Muslim untuk menghuraikan Islam berdasarkan sumbernya yang asli iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Muhsin ‘Abd al-Hamid pula mendefinisikannya sebagai setiap apa yang dilahirkan oleh pemikiran kaum Muslim sejak perutusan Rasulullah hingga kini tentang pandangan hidup umum (al-ma‘arif kawniyyah, world view) yang berhubungan dengan Allah S.W.T, alam dan manusia. Mohd Kamil Abd. 

Majid mengupas pemikiran Islam itu sebagai gagasan, idea, dan fikiran dari perspektif Islam sebagai respons intelektual kepada persoalan Tuhan, manusia, alam, kehidupan, kematian dan kewujudan seluruhnya yang timbul daripada pertembungan Islam dengan kebudayaan dan peradaban asing atau respons terhadap masalah dalaman umat Islam. Bagi Hassan Abdullah Hassan pula pemikiran Islam tidak lari dari kegiatan akliah yang berteraskan kaedah Islam dalam pergerakan, pelaksanaan, penghasilan dan penilaian akliah tersebut, seterusnya menjadi kerangka pegangan untuk membentuk tasawwur asasi berkaitan Allah, insan, dan alam. 

Ketiga-tiga persoalan (qadiyyah) di atas adalah tema pokok perbahasan ilmu dan kehidupan. Dr. Yusof al-Qardawi memfokuskan perbincangan kepada qadiyyah Ilahiyyah, Insaniyyah, al-‘Alam dan ditambah lagi dengan al-Nubuwwahal-Ma’ad wa al-Masir. serta Menurut Prof. Dr. Kamal Hasan, yang dimaksudkan dengan pemikiran islam semasa ialah gagasan-gagasan, idea-idea dan fikiran dari perspektif islam sebagai tindak balas yang bersifat intelektual kepada persoalan-persoalan manusia dan masyarakat semasa.

 Oleh itu, yang dimaksudkan dengan persoalan semasa ( kontemporari ) di sini pastinya merujuk kepada perkembangan dan persoalan yang berlaku hari ini atau berkisar kepada isu-isu terkini, jadi pemikiran yang menjadi fokus sabjek ini pastinya kepada perubahan-perubahan dan perkembangan yang berlaku dan menimpa umat Islam semasa dan reaksi atau jawapan yang dikemukakan oleh umat Islam melalui ijtihad mereka menangani tuntutan dan keperluan semasa umat Islam. 

Pemikiran Islam yang bersifat pembaharuan dan tajdid akan menjadi asas kepada kemajuan dan perubahan umat Islam, peranan pemikir tidak kurang pentingnya sebagai pelaksana dan pengurusan kepada pemikir Islam dan temadunnya. Islam turut terikut dengan tahap kemajuan dan kemampuan pemikirnya sama ada berkembang ke arah kekuatan ataupun statik beku tanpa sebarang perubahan.
 
Pemikiran Islam turut didefinisikan sebagai himpunan ilmu dan pengetahuan yang tertegak atas asas-asas dan neraca ukuran Islam. Lebih luas lagi ianya diertikan sebagai dasar dan ajaran yang dibawa oleh Islam, metode yang perlu digunakan dalam pemikiran oleh umat Islam, pandangan dan pemikiran yang dihasilkan oleh umat Islam, dan rumusan daripada usaha-usaha penggabungan pemikiran manusia dengan mengubahsuai, memproses dan membebaskannya daripada unsur-unsur luar yang bercanggah dengan Islam. 

Dalam hal ini, tafakkur lebih sesuai difahami sebagai usaha berfikir dengan kaedah-kaedah tertentu, manakala fikr adalah hasilnya. Definisi pertama juga menekankan persoalan sumber pemikiran Islam. Manakala definisi kedua menekankan persoalan skop pemikiran Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

~ perkongsian yg lain~