~Yang Budiman~

Rabu, 18 Januari 2012

~tUjUaN bErBlOgGeR~

Menjelajah dan terus menjelah blog ke blog bagi pengisian diri. Pelbagai matlamat dan tujuan yang ingin disampaikan penulis. Ada yang yang menyentuh (kehidupan berumah tangga), ada yang melakarkan tentang dairi hidupnya,dan segala macam lagi... Diri kembali pada tajuk blog ini “manisnya tafaqqur taqarrub wa hayatul ma’aAllah”  bagi mengingatkan pada diri. Peringatan ini adalah sangat penting sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Iaitu bertafaqqur, berfikir dan merenung setiap perkara lalu disandarkan pada Allah s.w.t dan akhirnya untuk mendapatkan kemanisannya bertaqarrub, mendekatkan diri pada Allah .s.w.t.

Perkara ini suka diulang-ulang, agar tidak lapuk diingatan. Cuba bayangkan, berapa banyak  masa diluangkan untuk memikirkan tentang Tuhan? Adakah setiap detik perbuatan disertai mengingati Tuhan? Sedangkan banyak perkara yang dibuat baik atau buruk tanpa kehadiran rasa bersama Tuhan.


Wahai yang mempunyai hati,


Apakah tiap perbuatan kita, bercakap, membaca, menulis, bekerja, malahan berfikir dikaitkan dengan Tuhan? Sebanyak mana apabila bercakap; bercakap mengenai Tuhan, apabila menulis; menulis tentang Tuhan, membaca; membaca tentang Tuhan, dan seterusnya berapa kali berfikir mengenai Allah?
Itulah kurniaan Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih untuk mengingati Tuhan azza wa jalla. Kenapa diri tidak dipilih Tuhan untuk memikirkannya? Perlu la direnung, setakat mana kesungguhan kita untuk menghampirinya. Yakni untuk mendapat hidayah, petunjuk untuk merenung tentang Tuhan.

Ada yang membaca tanpa rasa, dan mungkin ada yang tidak faham pada tuntutan-NYA lalu tidak diendahkan. Dikhuatiri hati itu yang tidak kesampaian untuk merasakan manisnya berbicara mengenai Tuhan.
Wahai yang dikasihi,


Bersyukurlah dengan nikmat Islam yang sedia ada melalui turun temurun para ibubapa yang bergelar muslim. Itulah salah satu pemilihan Tuhan untuk menghampirinya dan mengenali hakikat Tuhan Allah Ta’ala. Dan selepas itu, arah tuju perjalan hidup diteruskan dengan pelbagai acuan. Bermacam-macam keinginan yang hendak dikecakapi dalam kehidupan, keseronokkan, hiburan, impian dan cita-cita, tapi lupakah kita pada Pencipta kehidupan itu dan erti kehidupan di dunia yang sebenar?


Sesungguhnya, ilmu mengenal Tuhan amatlah penting untuk memulakan kecintaan pada Pencipta kita dan segala macam nikmat yang dianugerahkan. Jika tidak mengenali Allah s.w.t, maka diri tidak tahu apa tujuan hidup yang sebenar dan bagaimana  menghabiskan masa sebaiknya di dunia. Apabila tidak mengenali Tuhan; sukar untuk melihat keagungan-Nya, sukar untuk merasa syukur pada-NYA lalu pejalanan hidup mengikut acuan sendiri sehingga lupa untuk membesarkan-Nya.


Maka hai sekalian makhluk-Nya,


Betapa pentingnya ilmu mengenal Tuhan iaitu “marifatullah”. Ilmu yang terkandung tentang sifat-sifat Allah s.w.t yang wajib, harus dan mustahil. Sifat wajib yang dikenali sebagai sifat 20 iaitu sifat yang mesti ada pada Tuhan, yang panjang perbahasannya. Apabila mengkaji sifat-sifat Allah ini, sudah memadai untuk jatuh cinta dengan Tuhan. Ilmu ini terkandung di dalam pelajaran aqidah, maka pelajarilah.


Ilmu ini bukan sahaja pada mereka yang berkesempatan dikhususkan untuk mempelajarinya, malah ilmu ini wajib dipelajari bagi hamba yang mahu mengenali Tuhan. Hanya kehendak sahaja yang perlu diusahakan. Tidak bermakna juga hanya mereka dari pelajar agama mahupun hanya pelajar pengajian Islam. Namun ilmu Allah ini adalah untuk semua, kerana al-Quran itu bukan diturunkan hanya kepada mereka yang belajar agama, tetapi untuk semua umat Islam sebagai panduan tidak kira siapa jua.


Oleh itu, mereka yang mahu mencari hakikat Tuhan itu akan berusaha dengan pelbagai jalan. Ianya terbahagi pada golongan ahli tasauf, ahli falsafah, ahli kalam (mutakallimun) dan beberapa jemaah yang turut mencari jalan yang hakiki menuju Tuhan. Antaranya jalan tariqat yang terdapat tujuh aliran seperti tariqat muhammadiah, syazaliah, naqsyabandiah dan sebagainya. Aliran-aliran ini melalui jalan yang sukar untuk menemui hakikat Tuhan dan akhirnya dikecapi dengan bimbingan yang diperolehi melalui pembelajaran.


Mereka dianugerah fikiran mencari kebenaran Tuhan itu, lalu membahaskan kebenarannya. Walaupun terdapat kesalahan, namun ia dikira ijtihad yang diampunkan, tidak berdosa malah dikurnia ganjaran pahala. Bagi yang sukar memahami akan mengangapnya sebagai sesat, kerana aliran yang dibawa menghadapi kemusykilan untuk difahami. Siapakah kita untuk layak memahami ilmu Tuhan yang diperingkat tinggi? Itulah kita golongan awam yang masih cetek pengetahuan tentang makrifatullah.


Mereka yang dikurniakan hikmah tersebut, memandang setiap perkara sambil memandangnya di sisi Tuhan. Apabila melihat alam, akan dapat merasa kehebatan Tuhan. Contohnya, tahap makrifah mereka apabila melihat segala benda yang tidak bernyawa, mereka melihat Allah yang menjadikan-Nya. Bagaimana kita mampu melihat meja, kerusi, buku, lampu, katil akan melihat Allah yang menjadikannya? Kita hanya menggunakannya tanpa rasa syukur.


Oleh itu marilah kita mengenali Tuhan melalui ilmu aqidah, turut juga ilmu tauhid mengenai tauhid rabbaniah, uluhiyyah dan sifat serta asma nama-Nya yang sangat cantik. Akanku lakarkan kali ini hasrat di hati untuk menceritakan tentang keagungan-MU Allah.. Jadi, hayatilah lagu sifat Allah 20 ini… wallahu’alam.

ohH..jatuh cinta pada-MU ALLAH..... 

~ perkongsian yg lain~