~Yang Budiman~

Khamis, 21 November 2013

Hebat Pemuda Ahmad Ammar, Syahid disemadi Bersebelahan Abu Ayyub al-Ansori di Turki

                            
Ahmad Ammar - Digelar sahabat-sahabatnya sebagai “Syahid Yang Tertangguh”.

Ahmad Ammar Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya lima hari yang lalu di Istanbul, Turki.

Beliau memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tert...egak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya.

Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden Abim sudah tidak asing lagi bagi para pendakwah dan gerakan Islam di Malaysia. Ahmad Ammar satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Tn. Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Aziz.

Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang. Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria.

Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. Allahu Akbar! Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”.

Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik. Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad untuk membebaskan Konstantinopel dahulu.

Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari. Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari? Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain?

Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah.

Takdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan.

Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’ : “…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi.

Malah catatan terakhirnya dan dimasukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi : “Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”

Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulans. Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara.

Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini.

Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar.

Masyaallah Tabarakallah!

Al-Fatihah..

Lihat Video : http://www.youtube.com/watch?v=HIR30U3E9sE
See More
 
 
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>UCAPAN PEMIMPIN ABIM>>>>>>>>>>>
 
Salam.
 
Warga besar PKPIM-ABIM-WADAH dan rangkaiannya mengucapkan takziah atas kembalinya ke rahmatullah, sahabat kita Saudara Ahmad Ammar bin Ahmad Azam Ab Rahman, yang merupakan anak kepada Tuan Hj Ahmad Azam Ab Rahman, mantan Presiden ABIM dan Timbalan Presiden WADAH. Ammar merupakan seorang ahli dan pimpinan ABIM yang aktif. Beliau meninggal di Istanbul, yang kini berada di sana kerana mengikuti pengajian peringkat ijazah.
 
Anak lelaki tunggal Tuan Hj Ahmad Azam ini telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Istanbul. Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham dan dikurniakan ketabahan dan keredhaan kepada Tuan Ahmad Azam sekeluarga. Seluruh warga PKPIM-ABIM-WADAH amat merasai kehilangan beliau yang merupakan permata bagi perjuangan Islamiah ini. Allahyarham adalah bintang yang berpotensi untuk bersinar pada masa akan datang.
 
Ammar merupakan pelajar terbaik SPM 2010, Maktab Tentera Diraja (MTD-RMC) dan sedang melanjutkan pengajiannya di Turki dalam bidang Sejarah. Anak yang dipersiapkan oleh kedua ibu bapanya untuk menjadi mujahid dakwah telah dipanggil oleh Penciptanya pada 2hb November 2013. Hanya kepada ALLAH kita berserah segalanya dan mudah-mudahan ALLAH merahmati dan memberi ganjaran yang setimpal kepada kedua ibu bapanya yang ‘menyerahkan’ kembali anakanda mereka dengan penuh redha. Amin.
 
Ahmad Ammar adalah seorang anak muda yang baik. Jarang dapat ditemui anak muda sepertinya. Tekun dan berdisiplin, taat dan bercita-cita tinggi. Tidak banyak bersuara di depan ramai. Pandai menempatkan diri di tengah khalayak. Dan paling menyentuh perasaan ialah bila mengingatkan perilakunya yang penuh sopan dan sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Semoga Allahyarham menjadi penuntun ibu bapanya ke syurga.
 
Allahyarham Ahmad Ammar, bersemadilah engkau di sana. ALLAH menyayangimu. Sungguh, hidupmu bersama perjuangan, matimu pula ketika dalam perjuangan, ditakdirkan ALLAH, jasadmu juga bersama para pejuang-pejuang agama ALLAH yang mati mereka juga di dalam perjuangan.
Hidup dikelilingi orang-orang soleh, mati pula bersemadi jasadnya dikelilingi jasad orang-orang soleh. Takdir ALLAH buat hamba-NYA yang terpilih. Hanya ALLAH yang lebih mengetahui akan hikmah sesuatu peristiwa.
 
Di Istanbul, Eyub merupakan tempat letaknya Maqam Abu Ayyub al-Ansori, sahabat Nabi yang mulia. Merupakan sebahagian daripada pahlawan Islam daripada angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.
 
Buat anak-anak muda di luar sana, sempena tahun baru hijrah ini, jika tidak dapat berazam jadi orang soleh, sekurang-kurangnya. berazamlah untuk dekat dengan orang-orang soleh. In sya ALLAH, akhir hayat kita akan diiringi oleh orang-orang soleh, didoakan ruh kita oleh orang-orang soleh. In sya ALLAH, semoga kita juga akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh.
Di bumi yang asing, pemergiannya dihadiri ramai.
 
Beliau telah dikebumikan di sekitar maqam sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub Al-Ansari. Selamat bertemu Maha Pencipta saudaraku Allahyarham Ahmad Ammar.
Jenazah Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam disolat dan dikebumikan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul Di sana juga terdapat maqam sahabat Rasulullah S.A.W yakni Abu Ayub Al-Ansari R.A.
 
Awal Muharram di Turki, Ammar disemadikan di Eyub Sultan disaksikan ramai pelajar Risalah an Nur di ketuai Hoca Said Nuri, pemimpin utama Hayrat Vakfi. Hoça Said Nuri, pemimpin spiritual gerakan Heyrat Vakfi turun untuk bersama Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman dan isteri, Puan Hajjah Nur Azlina berserta anak-anak muridnya dalam majlis pengebumian Allahyarham Ahmad Ammar.
 
Perkuburan Eyub Sultan tempat Ammar disemadikan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 orang para sahabat Nabi SAW, awliya, panglima Uthmaniyyah dan orang ternama. Takdir ALLAH, Dato Bandar Eyub beri pengecualian rakyat Malaysia pertama ini. Subhanallah. Peristiwa bersejarah ini pasti mempunyai signifikan sejarah buat hubungan dua hala bangsa Melayu-Turki dan Islam untuk menjadi lebih sakti. Tidak lupa juga jasa hubungan dua hala ABIM dan Hayrat İnsani Yardım .
Perancangan ALLAH SWT.
 
Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan.
Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa ‘Afihi Wa’fu ‘anhu.
Al-Fatihah untuk Allahyarham.
Salam.
HAJI AMIDI ABD MANAN,
Presiden ABIM.
 
>>>>>>>>>>>>>>>>>KEAZAMANKU>>>>>>>>>>
 
Ya Allah permudahkanlah untukku mencontohi orang2 yg hebat dalam perjalanan hidupnya demi agama-Mu Islam yg tercinta.. Amin.. Selepas ni mesti tumpu semangat keazaman untuk slalu niatkan untuk jadi lebih baik dari hari ke hari Lillahi Ta'ala... Buktikan la kaum wanita juga boleh mncontohi muslimah2 trdahulu yg brjuang demi agama... Rabbi Yassir wala Tu'assir ya Karim... Selalulah muhasabah diri kita di Sisi Tuhan :'(

~ perkongsian yg lain~