~Yang Budiman~

Sabtu, 24 November 2012

Mahasiswa Kelas Pertama


Alhamdulillah.. Majlis Ilmu yang bertemakan“Nur Qolbi” yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM diteruskan lagi. Mengupas tajuk “Mahasiswa Kelas Pertama” dengan jemputan penceramah yang  tidak asing lagi iaitu Ustaz Fauzi Mustafa iaitu Pengacara rancangan al-Kuliyyah tv3.

Diketengahkan tajuk Mahasiswa Kelas Pertama adalah bagi memberi pencerahan kepada mahasiswa/wi untuk menjadi mahasiswa yang berwibawa seiring dengan pencapaian akademik dan sahsiah, serta tuntutan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sedikit kupasan daripada penceramah mengenai tajuk tersebut:

 “Mahasiswa kelas pertama adalah mahasiswa yang menjaga hubungannya dengan Tuhan. Siapa yang lebih mengejar akhirat, akan dapat jua kejayaan dunia tetapi sesiapa yang lebih mengejar dunia, akhirat belum tentu berjaya”

Hassan al-Basri telah mendatangkan sebuah kisah:

Di sebuah penempatan, terdapatnya seorang tok guru yang beragama. Telah datang kepadanya seseorang yang mengadukan bahawa ramai orang telah memuja sebuah pokok besar yang dipercayai mempunyai kuasa. Lalu tok guru tersebut berazam untuk menebang pokok tersebut kerana boleh membawa kesyirikan dengan amalan pemujaan tersebut.

 Apabila tok guru sampai di pokok tersebut untuk menebangnya, keluarlah satu lembaga hitam dari pohon tersebut. Lembaga hitam dan tok guru telah bergelut dan Tuhan telah memberi lebih kekuatan kepada tok guru. Lembaga yang lemah tersebut telah menawarkan ganjaran kepada tok guru sekiranya tidak menebang pokok tersebut dengan memberi wang di bawah bantalnya keesokan harinya. Lalu tok guru bersetuju kerana telah berfikir dia akan manfaatkan wang tersebut sebaiknya.

Hari demi hari lembaga hitam itu menepati janjinya dengan menyediakan wang di bawah bantal tok guru, namun suatu hari tok guru mendapati tiada wang di bawah bantalnya. Lalu tok guru berasa marah dan terus membawa kapak untuk menebang pokok tersebut. Situasi yang sama juga dimana tok guru perlu berlawan dengan lembaga hitam tersebut, namun kali ini tok guru telah Berjaya dikalahkan oleh lembaga tersebut.
 
Tok guru berasa heran dengan kelemahannya lalu bertanya bagaimana lembaga itu boleh berjaya mengalahkannya. Lembaga itu menjawab bahawa, dulu tok guru datang dengan niat yang mulia untuk menghapuskan syirik terhadap Allah, namun kali kedua tok guru datang dengan niat yang tidak ikhlas apabila kerana tidak mendapatkan wang yang dijanjikan. Oleh itu, Tuhan telah melemahkan tok guru yang berjaya dikalahkan oleh lembaga tersebut.

Pengajarannya: Niatkan setiap perkara kerana Allah s.w.t, bentukkan hati yang IKHLAS dalam setiap perkara yang dilakukan semata kerana Allah s.w.t. Apabila ikhlas, akan datang RAHMAT Allah s.w.t dengan memudahkan segala urusan dengan bantuan-Nya.

Ilmu agama cukup tinggi nilainya.. Ilmu dunia juga penting. Pengalaman juga diertikan ilmu. Mahasiswa/wi kelas pertama bukan setakat menerima ilmu sahaja, namun perlu dipraktikkan. Mahasiswa/wi perlu mecabar diri dengan menceburi pelbagai bidang, kerana Islam menuntut mencari ilmu yang berterusan sehingga ke liang lahad.

Imam Syafie telah menggariskan 6 syarat-syarat menuntut ilmu. Tidak kira ilmu apa pun jua, iaitu:

1) Kebijaksanaan (berakal)
2) Minat yang mendalam (kepekaan terhadap ilmu)
3) Bersungguh-sungguh (usaha)
4) Berkemampuan (harta) 
5) Bergaul dengan ilmuan (para guru)
6) Masa yang bersesuaian (menghargai masa)

Penceramah menekankan pelajar bahawa ADAB perlu dititikberatkan terhadap para guru. Mahasiswa/wi yang ingin berjaya perlu menjaga adabnya terhadap guru yang telah mendidiknya atau mengajar sebarang ilmu kepadanya. Dengan penjagaan adab ini, dapat memberi barakah terhadap ilmu yang dipelajari.
Wallahu 'alam..

Sedikit gambaran situasi di bahagian muslimat:
 
kehadiran muslimat yang ramai sedang khusyuk mendengar ceramah
 
kedudukan muslimin dan muslimat yang dipisahkan dengan tabir semasa sesi ceramah
 
 ceramah diakhiri dengan solat hajat perdana terhadap penindasan saudara seislam di Palestine, Gaza, Syiria  dan sebagainya

Nantikan kemunculan NUR QOLBI yang akan datang,Insya Allah...

~ perkongsian yg lain~