~Yang Budiman~

Selasa, 28 Disember 2010

Permulaan dengan nama Allah ya Karim yang Maha Mulia, ya ‘Azim yang Maha Agung. Sesi pembelajaran telah bermula. Wah banyak pula tugasan yang perlu dilaksanakan. Baru terasa sibuk, gundah gelana untuk menyiapkannnya. Jadi di blog ini akan mengimbas kembali apa yang telah pelajari dari kertas2 kerja. Madah kali ini ialah “ Ahklak dan Tasauf”. Semoga ilmu ini sentiasa diingati dan diamati. Wallahu ‘alam.


1. PENGHAYATAN AKHLAK MULIA ASAS KECEMERLANGAN JATI DIRI MUSLIMJustify Full
Menjadi sifat semula jadi manusia mencari keunggulan dirinya. Masing-masing akan berusaha ke arah itu dengan mengenali potensi ( bakat ) yang ada pada dirinya dan dengan berbagai-bagai cara. Jelasnya, mereka menggunakan seluruh kemampuan fikiran dan perasaan, daya dan tenaga, harta dan masa semata-mata untuk mencapai keunggulan peribadi dalam satu-satu bidang. Dasar yang menjadi prinsip hidup orang yang mengharapkan kurniaan Allah s.w.t. ialah beriman, berilmu, beramal, berhijrah, berjihad dan bertaqwa. Dasar ini diletakkan di atas landasan taufiq dan hidayah, irsyad dan ‘inayah Allah s.w.t. seperti yang sentiasa diucapkan di dalam solat Surah al-Fatihah ayat ke- 6:

Maksudnya: “tunjukkanlah kami jalan yang lurus”.

Jalan ini sahaja yang akan membawa manusia sampai mercu keunggulan bukanlah merupakan sesuatu yang dicari-cari atau diburu-buru dan keunggulan itu semestinya didapatkan melalui jalan yang satu iaitu Islam. Jalan-jalan yang lain adalah palsu dan keunggulan yang didapati adalah bersifat sementara dan sia-sia.

1.1 Persaudaraan Islam

Persaudaraan Islam ialah suatu bentuk ikatan yang kukuh antara manusia yang menganut agama Islam dengan satu identiti iaitu muslimin muslimat, mukminin dan mukminat. Dalam Surah al- Hujurat, ayat ke-10:

Maksudnya : “sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah dua saudara kamu..”

Persaudaraan Islam menjadi salah satu faktor penting bagi membina masyarakat Islam yang bersatu padu, kuat dan cemerlang seperti yang telah ditunjukkan dalam sejarah pembentukan masyarakat Islam di Madinah pada zaman Rasullah s.a.w. Apabila mengamalkan persaudaraan sesama Islam, maka akan melahirkan rasa kasih sayang, simpati, menghilangkan prasangka dan iri hati terhadap orang lain. Persaudaraan Islam juga melahirkan sikap saling bantu -membantu dan tolong- menolong serta menghapuskan sikap mementingkan diri. Ianya dapat memanfaatkan setiap bakat dan kebolehan yang ada untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dengan menggembeling daya dan tenaga untuk mempertahankan kesucian Islam dan untuk melaksanakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah s.w.t. di bumi ini.

1.2 Toleransi dan Pemaaf

Sikap toleransi dan pemaaf juga adalah akhlak mulia yang perlu dihayati. Nilai baik dapat dikekalkan dan akibat buruk dapat dihindari dengan menanamkan semangat toleransi dan pemaaf. Orang yang mempunyai semangat toleransi dan pemaaf sebenarnya orang yang berjiwa besar, berfikiran jauh dan bersikap terbuka serta optimis terhadap kebaikkan yang tersembunyi di sebalik keburukkan orang lain. Malahan dia bijak menangani gejala buruk yang dihadapinya. Toleransi mengandungi sifat-sifat sabar, imbang ( wastiyyah ), tolak –ansur, timbang rasa, lemah lembut, istiqamah ( tetap pendirian ), bijak dan waspada. Orang bertoleransi bukanlah orang yang kalah kepada musuh, malahan dia merupakan orang yang mempunyai kekuatan dalaman ( jiwa ) yang dapat mengawal nafsu amarahnya yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada tindakannya. Ketenangan jiwa itu merupakan tenaga yang dapat menundukkan dan mengalahkan musuh dengan kebijaksanaan dan sebagai benteng yang dapat menahan hasutan syaitan. Ini bererti orang yang mempunyai sifat toleransi memilih cara yang baik dan selamat untuk mengatasi masalah pertentangan dan permusuhan dengan tidak menggadaikan prinsip dan tidak mengabaikan matlamat. Manakala pemaaf pula mengadungi sifat jujur, ikhlas, mulia diri, simpati, kasih sayang, timbang rasa, belas kasihan, redha, tawakal dan raja’ ( berharap dan berserah kepada Allah s.w.t ). Jelasnya orang yang pemaaf mempunyai hati budi yang luhur dan peri kemanusiaan yang unggul, serta menghargai orang lain, juga yakin terhadap kebaikkan di sebalik kejahatan mereka dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap kejahatan mereka.

1.3 Ikhlas

Semua kerja atau amal hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Ikhlas bermaksud melakukan amal ibadah sama ada ibadah khusus atau ibadah umum semata-mata mengharapkan kurniaan dan keredhaan Allah s.w.t. jelasnya orang yang ikhlas melakukan sesuatu bukan mengharapkan balasan, pujian atau sanjungan daripada manusia, jauh sekali menunjuk-nunjuk atau ria’. Ikhlas menjadi pendorong utama kepada seseorang untuk melaksanakan niatnya yang baik, kerana niat yang ikhlas menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amal. Allah s.w.t hanya akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan dengan ikhlas. Contoh riwayat al-Hakim:

أخلص دينك يقفك العمل القليل

Maksudnya : Ikhlaskanlah dirimu terhadap agama kamu, nescaya memadai bagi kamu amalyang sedikit.

Penghayatan akhlak yang mulia ini akan menyebabkan terlindung dari maksiat yang dimurkai Allah s.w.t. dari keunggulan duniawi yang sementara. Mengimpikan keunggulan para sahabat Rasulullah s.a.w., tabi’in, para aulia’, ulama’, syuhada’ dan solihin. Keunggulan sedemikian akan membawa kepada kejayaan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat.

1.4 Membentuk Amal Yang Soleh

Penghayatan akhlak mulia dalam diri muslim juga mampu membentuk amal yang soleh serta manusia yang soleh. Amal soleh bermaksud apa jua amalan orang Islam sama ada secara zahir atau batiniah termasuk kelakuan dan ucapan lisan mengikut syariat Islam. Amal itu dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t. mengikut cara yang betul serta tidak mempunyai unsur-unsur maksiat dan perkara yang boleh membatalkannya. Setiap amalan seseorang itu sama ada baik atau buruk akan dihitung oleh Allah s.w.t. Jika baik amalannya maka baiklah balasannya. Manakala jika buruk amalannya maka buruklah balasannya. Contohnya seseorang melaksanakan segala perintah Allah s.w.t. yang diwajibkan ke atas tiap muslim seperti berpuasa,solat,dan sebagainya akan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t:

من عمل صلحا فلنفسه ومن أساء فعليها وما ربك بظلم للبعيد

‘’Sesiapa yang mengerjakan amal soleh,maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri,dan sesiapa yang berbuat kejahatan,maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri,dan Tuhan tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat 41:46)

Antara tanda-tanda orang yang beramal soleh ialah patuh kepada ajaran Islam iaitu dengan melakukan perintah serta meninggalkan larangan Allah s.w.t. Selain itu ia berpegang teguh dengan hukum dan tidak tergoda oleh pesona dunia dan kerja yang tidak membawa manfaat kepada diri dan agamanya. Ciri-ciri orang yang soleh juga dapat dilihat apabila ia sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t. serta redha atas tiap ketentuan-Nya tanpa merungut atau berputus asa

Justeru bagi memantapkan amal soleh serta mengelak seseorang terjerumus dalam perkara kemaksiatan maka kita perlulah mengetahui implikasi tiap-tiap perbuatan sama ada baik ataupiun buruk. Kita juga mestilah memperbanyakkan amalan seperti berzikir,selawat ke atas Rasulullah s.a.w.,solat sunat seperti solat tahajud dan amalan lain yang mampu membuatkan kita lebih dekat dengan-Nya. Kita juga perlu menghiasi diri dengan sifat mahmudah serta menjauhi sifat mazmumah.

1.5 Ehsan

Seterusnya akhlak yang baik juga melahirkan ehsan atau ditakrifkan sebagai berbuat baik dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapakan apa jua balasan atau untuk kepentingan diri kerana ehsan lahir daripada empat komponen iaitu hati,niat,cara perlaksanaan dan tujuan. Antara contoh ehsan ialah bebuat baik terhadap ibu bapa,jiran,kaum kerabat serta masyarakat. Ehsan merupakan kemuncak Iman dan Islam juga sebagai amalan yang mampu mendekatkan manusia dengan Allah s.w.t hingga golongan ini digelar sebagai Muhsin iaitu orang yang berbuat baik dan tergolong dalam golongan Muhsinin yang amat dikasihi-Nya.Ehsan merupakan suatu kewajipan justeru ia mestilh dipupuk dalam diri tiap muslim bagi membentuk jiwa yang luhur dan prihatin,mengikis sikap pentingkan diri sendiri,mengukuhkan tali persaudaraan sesama muslim serta melahirkan masyarakat yang prihatin,bersatu padu dan harmoni.

Firman Allah s.w.t:

ان أحسنتم أحسنتم لأنفسكم

“Jika kamu berbuat kebaikan,maka faedah kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu.”(Surah al-Isra’ 17:17)

1.6 Bertaqwa Kepada Allah s.w.t.

Ketakwaan pada Allah s.w.t. juga merupakan salah satu kesan daripada penghayatan akhlak yang baik dalam diri muslim kerana ia mampu membentuk jati diri muslim. Kalimah takwa diambil daripada rumpun kata wiqayah yang bermaksud memelihara hubungan yang baik dengan Allah s.w.t.,memelihara diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang keji serta melakukan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.Ketakwaan kepada Allah s.w.t akan bertapak di hati seseorang sekiranya dia seorang yang beriman,berilmu dan beramal soleh. Takwa terdapat tingkat ataupun tahap iaitu kualiti takwa terletak kepada tahap iman,ilmu dan amal seseorang. Justeru kita mestilah bertaqwa kepada Allah s.w.t kerana ia menjadi pendorong kepada kita untuk beramal dengan akhlak yang baik secara bersungguh-sungguh,selain dapat meningkatkan kuailiti amal ibadah dan mendapatkan keampunan Allah s.w.t.

1.7 Bersikap Lebih Optimis

Orang yang berakhlak baik juga lebih bersikap optimis. Optimis merupakan perasaan yakin terhadap sesuatu yang baik dengan menjadikan perkara tersebut sebagai dorongan untuk berjaya. Orang yang berjaya dalam kehidupan mengamalkan sikap optimis daam diri sendiri,semangat berdikari serta berserah kepada-Nya kerana ia yakin dengan janji bahawa tiap-tiap perkara yang diusahakannya akan dinilai oleh Allah s.w.t dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil perkara. Ia juga yakin akan rahmat-Nya kerana Allah s.w.t. Maha Mengetahui,Maha Pemurah dan Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya. Maka ia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmat Allah s.w.t. dalam apa jua perbuatan kerana rahmat Allah s.w.t. melimpah ruah dan tidak pernah putus.

1.8 Bersyukur Atas Tiap Nikmat Allah s.w.t.

Nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada manusia tidak terhitung banyaknya. Contohnya hati terasa tenang,badan sihat,dipermudahkan segala urusan sesungguhnya itu merupakan nikmat yang diberikah oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Oleh itu sebagai muslim kita mestilah mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan dengan sentiasa mengingati Allah s.w.t,taat kepada perintah-Nya,tidak berlaku kufur atas nikmat-Nya dan sebagainya. Kita dapat melahirkan rasa bersyukur di atas tiap nikmat-Nya melalui tiga cara iaitu bersyukur dengan hatii,lisan dan amalan. Hati yang bersyukur pada Allah s.w.t. adalah hati yang sihat serta bebas daripada penyakit seperti riya’,takabur dan kufur nikmat.

1.9 Istiqamah Dan Tidak Mudah Menyerah Kalah

Antara sifat orang yang berakhlak mulia juga ialah sentiasa istiqamah dalam setiap perkara serta tidak mudah berputus asa. Istiqamah ditakrifkan sebagai berpendirian teguh atas jalan lurus,berpegang pada ‘aqidah dan syari’at Islam walau dalam apa jua keadaan. Contohnya berpegang pada ‘aqidah ahlu Sunnah wa al Jama’ah,melaksanakan tuntutan syari’at Islam berpandukan al-Qur’an dan hadith Rasulullah s.a.w serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir seperti dakyah dan godaan hawa nafsu. Istiqamah perlu dilakukan serentak iaitu melalui hati,lisan dan perbuatan. Sikap istiqamah boleh dibentuk dalam diri muslim dengan mengamalkan semangat dan daya juang yang tinggi dengan tidak mudah berputus asa dan mengaku kalah apabila berhadapan dengan mehnah kehidupan. Oleh itu sikap ini menjadi tuntutan agama Islam seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah riwayat Muslim:

قل امنت بالله ثم استقم

Ertinya:Katakanlah:Saya beriman dengan Allah kemudian teguhkan pendirian kamu.

2. Redha

Redha beerti menerima segala ketentuan dengan hati yang terbuka dan rela terhadap pemberian Allah s.w.t. Redha dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti redha terhadap rezeki,qadha Allah s.w.t an hukum Allah s.w.t. Redha terhadap rezeki bermaksud bersikap qana’ah iaitu berpuas hati atau mensyukuri dengan apa yang ada tanpa mengeluh atau merungut,manakala redha terhadap Allah s.w.t. pula dapat dilihat melalui sikap seseorang muslim yang menerima ketentuan hidupnya dengan hati yang lapang dan tenang. Redha terhadap hukum Allah s.w.t. pula bermaksud seseorang yang beriman tidak akan mempersoalkan hukum dan peraturan Allah s.w.t kerana ia percaya segala yang terjadi sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. dan hanya Allah s.w.t. yang mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

~ perkongsian yg lain~