Menjelajah dan terus menjelah blog ke blog bagi pengisian diri. Pelbagai matlamat dan tujuan yang ingin disampaikan penulis. Ada yang yang menyentuh (kehidupan berumah tangga), ada yang melakarkan tentang dairi hidupnya,dan segala macam lagi... Diri kembali pada tajuk blog ini “manisnya
tafaqqur taqarrub wa hayatul ma’aAllah”
bagi mengingatkan pada diri. Peringatan ini adalah sangat penting
sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Iaitu bertafaqqur, berfikir dan merenung
setiap perkara lalu disandarkan pada Allah s.w.t dan akhirnya untuk mendapatkan
kemanisannya bertaqarrub, mendekatkan diri pada Allah .s.w.t.
Perkara ini suka diulang-ulang, agar tidak
lapuk diingatan. Cuba bayangkan, berapa banyak
masa diluangkan untuk memikirkan tentang Tuhan? Adakah setiap detik
perbuatan disertai mengingati Tuhan? Sedangkan banyak perkara yang dibuat baik
atau buruk tanpa kehadiran rasa bersama Tuhan.
Wahai yang mempunyai hati,
Apakah tiap perbuatan kita, bercakap, membaca,
menulis, bekerja, malahan berfikir dikaitkan dengan Tuhan? Sebanyak mana
apabila bercakap; bercakap mengenai Tuhan, apabila menulis; menulis tentang
Tuhan, membaca; membaca tentang Tuhan, dan seterusnya berapa kali berfikir
mengenai Allah?
Itulah kurniaan Allah kepada hamba-hambanya
yang terpilih untuk mengingati Tuhan azza wa jalla. Kenapa diri tidak dipilih
Tuhan untuk memikirkannya? Perlu la direnung, setakat mana kesungguhan kita
untuk menghampirinya. Yakni untuk mendapat hidayah, petunjuk untuk merenung
tentang Tuhan.
Ada yang membaca tanpa rasa, dan mungkin ada
yang tidak faham pada tuntutan-NYA lalu tidak diendahkan. Dikhuatiri hati itu yang
tidak kesampaian untuk merasakan manisnya berbicara mengenai Tuhan.
Wahai yang dikasihi,
Bersyukurlah dengan nikmat Islam yang sedia ada
melalui turun temurun para ibubapa yang bergelar muslim. Itulah salah satu
pemilihan Tuhan untuk menghampirinya dan mengenali hakikat Tuhan Allah Ta’ala.
Dan selepas itu, arah tuju perjalan hidup diteruskan dengan pelbagai acuan.
Bermacam-macam keinginan yang hendak dikecakapi dalam kehidupan, keseronokkan,
hiburan, impian dan cita-cita, tapi lupakah kita pada Pencipta kehidupan itu
dan erti kehidupan di dunia yang sebenar?
Sesungguhnya, ilmu mengenal Tuhan amatlah
penting untuk memulakan kecintaan pada Pencipta kita dan segala macam nikmat
yang dianugerahkan. Jika tidak mengenali Allah s.w.t, maka diri tidak tahu apa
tujuan hidup yang sebenar dan bagaimana menghabiskan masa sebaiknya di dunia. Apabila
tidak mengenali Tuhan; sukar untuk melihat keagungan-Nya, sukar untuk merasa
syukur pada-NYA lalu pejalanan hidup mengikut acuan sendiri sehingga lupa untuk
membesarkan-Nya.
Maka hai sekalian makhluk-Nya,
Betapa pentingnya ilmu mengenal Tuhan iaitu
“marifatullah”. Ilmu yang terkandung tentang sifat-sifat Allah s.w.t yang
wajib, harus dan mustahil. Sifat wajib yang dikenali sebagai sifat 20 iaitu
sifat yang mesti ada pada Tuhan, yang panjang perbahasannya. Apabila mengkaji
sifat-sifat Allah ini, sudah memadai untuk jatuh cinta dengan Tuhan. Ilmu ini
terkandung di dalam pelajaran aqidah, maka pelajarilah.
Ilmu ini bukan sahaja pada mereka yang
berkesempatan dikhususkan untuk mempelajarinya, malah ilmu ini wajib dipelajari
bagi hamba yang mahu mengenali Tuhan. Hanya kehendak sahaja yang perlu
diusahakan. Tidak bermakna juga hanya mereka dari pelajar agama mahupun hanya
pelajar pengajian Islam. Namun ilmu Allah ini adalah untuk semua, kerana
al-Quran itu bukan diturunkan hanya kepada mereka yang belajar agama, tetapi
untuk semua umat Islam sebagai panduan tidak kira siapa jua.
Oleh itu, mereka yang mahu mencari hakikat
Tuhan itu akan berusaha dengan pelbagai jalan. Ianya terbahagi pada golongan
ahli tasauf, ahli falsafah, ahli kalam (mutakallimun) dan beberapa jemaah yang
turut mencari jalan yang hakiki menuju Tuhan. Antaranya jalan tariqat yang
terdapat tujuh aliran seperti tariqat muhammadiah, syazaliah, naqsyabandiah dan
sebagainya. Aliran-aliran ini melalui jalan yang sukar untuk menemui hakikat
Tuhan dan akhirnya dikecapi dengan bimbingan yang diperolehi melalui
pembelajaran.
Mereka dianugerah fikiran mencari kebenaran
Tuhan itu, lalu membahaskan kebenarannya. Walaupun terdapat kesalahan, namun ia
dikira ijtihad yang diampunkan, tidak berdosa malah dikurnia ganjaran pahala.
Bagi yang sukar memahami akan mengangapnya sebagai sesat, kerana aliran yang
dibawa menghadapi kemusykilan untuk difahami. Siapakah kita untuk layak
memahami ilmu Tuhan yang diperingkat tinggi? Itulah kita golongan awam yang
masih cetek pengetahuan tentang makrifatullah.
Mereka yang dikurniakan hikmah tersebut,
memandang setiap perkara sambil memandangnya di sisi Tuhan. Apabila melihat
alam, akan dapat merasa kehebatan Tuhan. Contohnya, tahap makrifah mereka
apabila melihat segala benda yang tidak bernyawa, mereka melihat Allah yang
menjadikan-Nya. Bagaimana kita mampu melihat meja, kerusi, buku, lampu, katil
akan melihat Allah yang menjadikannya? Kita hanya menggunakannya tanpa rasa
syukur.
Oleh itu marilah kita mengenali Tuhan melalui
ilmu aqidah, turut juga ilmu tauhid mengenai tauhid rabbaniah, uluhiyyah dan
sifat serta asma nama-Nya yang sangat cantik. Akanku lakarkan kali ini hasrat di hati untuk menceritakan tentang keagungan-MU Allah.. Jadi, hayatilah lagu sifat
Allah 20 ini… wallahu’alam.
ohH..jatuh cinta pada-MU ALLAH.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan